I’m Home (2015)

Menarik siri drama yang diterajui Takuya Kimura ini. Sejak kecil dulu, memang dah tertawan dengan rupa atau lakonan Takuya Kimura menerusi drama siri yang disiarkan di TV3, Long Vacation. Sempat juga memasang cita-cita berpindah ke Jepun atau mencari pasangan dari Jepun! Hahaha. Childhood crush orang kata.

Drama yang mempunyai episod ini (10) mengisahkan tentang Hishoshi Ieji yang ditimpa kemalangan, koma selama tiga bulan. Walhasil, akibat dari ledakan kemalangan itu, Ieji jadi hilang ingatan. Yang menariknya, Ieji yang kini setelah bangkit dari koma seolah Ieji yang baharu. Kalau sebelum ini Ieji yang garang, angkuh dan pentingkan diri sendiri. Ieji yang terkini menjadi pemaaf, lemah lembut, dan membantu orang lain.

Tapi satu hal yang menjadi konflik apabila isteri dan anaknya yang baru, Megumi dan Yoshio dilihatnya memakai topeng (sebelum ini dia berkahwin dengan seorang wanita beranak satu – Kaora dan Subaru). Dalam banyak-banyak hal, perkara ini menyukarkan Ieji, dia tidak tahu ekspresi wajah Megumi dan Yoshio dalam apapun situasi. Bahkan hubungan mereka pun jadi terganggu disebabkan ‘topeng’ yang berselindung dibalik eskpresi wajah.

Hidup ini sangat pendek, dan tidak selamanya kita berada di atas. Kemalangan yang terjadi pada Ieji bukan saja menjadikan dia orang yang baharu, tetapi juga membuatkan dia ‘terduduk’ menjadi pekerja bawahan. Malah orang-orang disekelilingnya menggelarnya ‘monster’ menipu, opportunis, kapitalis dan apa saja dilakukan demi mengekalkan kedudukan.

Satu hal yang membuatkan saya teruja ketika menontonnya, ia merupakan satu ‘perlambangan’ Ieji melepaskan perkara yang sudah berlalu dalam hidupnya dengan memulangkan satu persatu kunci yang ada padanya (ada 10 kunci). Bukan itu saja, pemulangan kunci ini juga satu perlambangan untuk memperbaiki hubungan-hubungan dalam hidupnya. Apakah yang dilepaskan Ieji? Dapatkah Ieji membetulkan semula apa yang telah di’rosak’kannya sebelum kemalangan yang berlaku?

Selamat menonton!

Dalam drama siri ini juga rajin betul Ieji ni memasak! :’)

Leave a comment