Kisah Apam Puteri Ayu

Banyak kali dah juga cubaan buat puteri ayu ni tapi ada juga masa-masanya daku gagal juga. Dan begitu juga hidup yang ada jatuh bangunnya, pasang surutnya, maka kita tak boleh mudah mengalah. Meskipun kecewa, perlahan-lahan kita mesti terima bahawasanya ini adalah sebahagian daripada kehidupan. Biasanya kalau tak jadi, mak saya akan suruh ‘rehat’ dulu. Simpan dulu. Kemaskan. Sampai masanya nanti akan ada waktu untuk kita memulakan kembali. Lalu hasil daripada kesilapan lepas membuatkan kita lebih berhati-hati banyak. Dan dipenghujung usaha ini, kita letak tawakal yang tinggi, berdoa penuh seluruh semoga apa yang kita perbuat ini akan jadi sebagaimana yang selayaknya.

Jadi ini resipi yang saya ubah (hasil dari penelitian setakat ini)

1 cawan gula perang – sebab taknak manis
3 biji telur sederhana – kalau pakai gred A guna 2 saja
1 sudu teh ovallete
Esen vanila sikit

(Putar laju-laju sampai jadi kembang putih)

Kemudian, masukkan:
1 sudu teh pewarna hijau
1/4 cawan jus pandan
1/4 cawan susu cair
1/2 cawan santan

(Putar dengan sopan)

1 1/2 tepung gandum
1/2 tepung jagung

(Masa masukkan kedua tepung ni, guna ayak dan teknik kaup balik atau kacau perlahan supaya adunan tak keras)

OK dah siap.

Untuk topping, kelapa, garam, tepung gandum, gaul sebati dan kukus sekejap.
Kemudian, oleskan minyak dalam acuan supaya tak melekat. Masukkan kelapa, tekan-tekan ke dalam acuan. Barulah masukkan adunan. Kukus 15 minit. Voilà!

#cookingtherapy

Kisah kek butter

Memandai saja bakar dalam tube chiffon ni. Atas tu taburan kimis, atas permintaan abah.

Sesekali memang saya semangat juga nak buat kek. Setakat ini, kek butter yang saya buat jarang tak jadi. Sebab ia mudah! Tak banyak sangat bahan dan tak renyah macam buat kek chiffon yang perlu meringue segala. Kek chiffon ada beberapa kali jugalah tak jadi, dan banyak sungguh yang boleh kita pelajari hasil daripada ketidak-berhasilan seperti yang dikehendak ini. Salah satunya kemestian untuk fokus dan teliti. Hanya kesilapan kecil dan tak teliti betul-betul, habis! Biasanya rasa saja sedap, tapi tekstur pula yang menganggu. Maka keseluruhannya =gagal.

Bila dah berkali-kali cuba kek butter ini, saya suka olah resipi. Mana tekstur yang rasa kaku sebab letak dan cara yang sekian-sekian, dan bagaimana nak dapat tekstur yang sangat lembut. Jadi, sempena meraikan kali pertama olah resipi suka hati ini sajalah nak kongsi resipi dekat sini pula.

  • 250g mentega (guna Butter Lite)
  • 5 biji telur (guna gred C)
  • 180 gram gula halus (gula kastor)
  • 1 tsp vanilla
  • 230g tepung naik sendiri (lepas ayak tau)
  • 2 tsb susu segar

Untuk perisa coklat, 2 tsb susu segar, 1tsb serbuk coklat (guna Beryls).

  1. Ayak tepung, ketepikan.
  2. Pukul mentega bersama gula dicampur dengan ekstrak vanila. Sampai kembang. Sampai batter jadi putih.
  3. Masukkan telur satu persatu.
  4. Putar sehingga sebati.
  5. Masukkan susu segar dan tepung naik sendiri yang telah diayak tadi. Gaul rata. Bahagikan dua adunan untuk coklat dan vanila. Selang seli adunan tadi guna sudu je. Kalau rajin boleh guna piping. Saya malas.
  6. Bakar guna 8 inci loyang, 180C, mengikut oven masing-masing dalam 40 minit. Kena tengok-tengok juga, kalau nampak macam panas sangat oven tu, perlahankan suhu.
  7. Voila!

Catatan kecil:

  • Ada pelbagai resipi di internet, ada yang guna tepung kek. Saya dah cuba. Tapi kata adik saya, tekstur dia agak kering. Sesuailah untuk minum petang bersama kopi atau teh kosong. Jadi, saya guna tepung naik sendiri, tekstur dia lembut dan agak lembap sedikit.
  • Kalau nak manis lagi, 200g gula. Bagi saya, 180g gula ni sedap dah. Manis-manis kek.

Sebenarnya inilah salah satu cara saya untuk melegakan segala benda yang bersiponggang dalam kepala. Ya melalui aktiviti mengadun dan membakar ini menghasilkan satu kepuasan. Ketelitian yang ditumpahkan sepenuhnya, membuatkan tanpa sedar, kita hanyut dalam dunia yang kita dan kek saja yang tahu. Ibarat begitulah. Tapi apa yang saya dapat adaptasikan dari pelajaran-pelajaran menghasilkan kek ini adalah; ketelitian dan fokus, hanya kerana kesilapan bodoh dan remeh pula (tak timbang betul-betul, mangkuk adunan basah), melulu dan tergesa membuatkan setiap apapun tak akan terjadi. Jadi berhati-hatilah dalam membuat apapun keputusan dan perbuatan.

Selamat hari lahir buat sesiapa yang lahir hari ini 😉

Beginilah hasilnya. Saya tak pandai sangat buat lorek tu, macam tak jadi sangat. Tapi tak apalah. Rupa tak ada, manis ada~~~