Happy Old Year/How to Ting (2019)

Filem ni baru saja keluar sebenarnya. Kalau tak salah dalam awal tahun ini juga di pawagam Malaysia kalau tak silap saya trailernya muncul pada 14 Februari. Fikir kita, mesti kisah cinta. Tapi rupanya tidak! Ianya tentang kisah cinta (baik pada barang atau orang) yang mesti dilepaskan; sesuatu yang tak semua orang ‘mampu’ bercakap tentang kepedihan-kepedihan yang mesti dilepaskan.

Menonton filem ini buat saya merasa ‘semangat’ untuk melepaskan sesuatu, walau barang atau orang. Saya tonton dengan perasaan separuh kosong. Sebab bukan mudah nak tentukan barang spark joy. Semua barang, hatta resit sekalipun, atau tiket bas, sangat nostalgia. Semuanya mempunyai nilai sentimental yang mahal untuk dijual beli. Lama untuk saya nak belajar perlahan-lahan untuk kurangkan barang dalam hidup. Bukan apa, penat bila pindah, nak mengangkut segala. Selainnya, saya ingin menanggalkan (detachment) semua benda yang berkaitan supaya saya dah tak punya keterikatan dengan apapun. Biar kita pindah di alam sana nanti dengan membawa bekal amalan saja, tanpa gusar tentang harta yang ditinggalkan. Tapi apapun, betul kata Pink, melepaskan ‘orang’, bukan sama macam buang barang dalam hidup. Manusia adalah individu subjektif dan emosional. Yang tidak dapat tidak mesti kita empatikan tiap perasaan sesama kita.

Pengakhirannya, kita semua tahu yang kita-mesti-move-on juga sebab, bukan saja kita telah pun membuat keputusan untuk itu, tetapi juga ada individu yang sudah lagi tidak menginginkan kita di dalam hidupnya lagi.

Kitalah yang mesti cepat berlalu dari dalam hidup, pulangkan semua barang peribadi dan lanjutkan hidup sendiri. Hidup kita ini panjang (selagi diizin-Nya) untuk memendekkan ruang dan masa dengan mengingat dan mengenang, bersyahdu dan bernostalgia dengan barang-barang. Adapun, cukuplah memori saja yang hinggap, kerana siapapun kita, kita takkan mampu menolak semua memori yang datang segar atau tiba-tiba ianya perlahan hilang.

Simboliknya filem ini yang diakhiri dengan sambutan tahun baru 2020, mengingatkan kita tentang perubahan-perubahan yang mesti dilakukan meski sukar. Walau banyak tantangan dan rintangan. Walau ianya sangat berat untuk melepaskannya. Walau kita tiada siapapun lagi untuk saling berbicara. Walau. Bagaimana. Pun. Jua.